Darah Wanita

rose-374318_1280

Sungguh menakjubkan bagaimana wanita boleh mengeluarkan tiga jenis darah berbeza daripada saluran yang sama. Setiap darah itu pula mempunyai nama dan hukum berbeza. Subhanallah!

Masa keluarnya darah-darah ini juga berbeza berdasarkan keadaan kesihatan individu wanita tersebut. Sukar memahami bagaimana wanita mengalami pendarahan setiap bulan tetapi tidak jatuh sakit atau meninggal dunia kerananya. Sebaliknya wanita merasa gusar apabila darah haid mereka tidak teratur.

Para ilmuwan Islam dan pakar perubatan mengesahkan ketiga-tiga darah ini:

  • Haid (menstruasi).
  • Istihadah/lokia (lochia).
  • Nifas (metrorrhagia).

Ketiga-tiga darah itu mempunyai fungsi dan peranan yang besar kepada wanita.

Melalui pemerhatian dan kajian, mereka berpendapat bahawa wanita yang teratur pusingan haidnya setiap bulan adalah wanita yang sihat dan subur. Sedangkan wanita yang menghadapi masalah kitaran haid yang tidak menentu setiap bulan adalah indikator kepada masalah kesihatan yang dihadapinya.

darah-wanita-2Selain menjadi medium transformasi seorang kanak-kanak perempuan kepada wanita dewasa, ia juga bertindak sebagai aras pengukur peningkatan tanggungjawab dalam aspek ibadat. Wanita yang mendapati dirinya sudah mula didatangi haid, bertanggungjawab melakukan semua ibadat yang diwajibkan ke atas orang yang mukalaf seperti solat, puasa, haji dan sebagainya.

Kitaran Haid Boleh Berubah Aturannya

Fungsi kitaran haid adalah untuk menghasilkan telur (ovum) yang matang daripada ovari dan menyediakan lapisan dalam rahim untuk implan embrio. Jika tidak berlaku persenyawaan, telur akan mengalami degenerasi dan dibuang bersama bahan-bahan lain yang keluar daripada tubuh wanita melalui saluran vagina. Oleh itu, proses haid sangat penting kerana ia membuang keluar darah, mukus/ lendir dan selsel yang sudah mati.

Justeru, maklumat sains perubatan tentang haid ini perlu diteliti dengan rapi sebelum sebarang hukum fiqah dikeluarkan.

Contohnya, para fuqaha sendiri berbeza pendapat tentang tempoh mula seorang perempuan didatangi haid ini. Ini kerana berdasarkan kajian perubatan, permulaan haid bergantung kepada beberapa faktor seperti kaum, genetik, suhu persekitaran dan status pemakanan dan khasiat.

darah-wanita-3Dengan itu secara tidak langsung, aliran darah haid sebenarnya menjadi ujian perubatan alamiah untuk menentukan kesihatan wanita setiap bulan. Sementara itu, wanita yang mengalami pendarahan di luar waktu haid juga menunjukkan masalah kesihatan. Darah ini dikenali darah istihadah atau darah penyakit.

Menentukan jenis darah yang keluar daripada seorang wanita adalah tanggungjawab peribadinya. Ini kerana darah yang keluar menentukan sama ada dia wajib menjalankan ibadat seperti biasa atau haram melakukannya.

Wanita Malaysia secara umumnya menggunakan kaedah kebiasaan setiap bulan untuk menentukan sama ada darah yang keluar ialah haid atau istihadah. Apabila darah keluar melebihi tempoh paling lama haid (15 hari mengikut mazhab Syafii) barulah wanita ini mula bersolat kerana menganggapnya sebagai darah istihadah.

Bagaimanapun, wanita moden kini berhadapan dengan perubahan corak kehidupan, pemakanan, dan suhu persekitaran yang berbeza hingga mempengaruhi ritma haid mereka.

Penggunaan pil perancang atau suntikan pencegah kehamilan juga menyebabkan hormon tubuh tidak seimbang. Kesannya aturan haid tidak menentu hingga mengelirukan wanita untuk menentukan darah haid atau pun istihadah.

Keadaan yang sama juga berlaku kepada wanita yang pertama kali kedatangan haid dan tidak mempunyai kebiasaan. Oleh itu, kaedah membezakan sifat-sifat darah lebih praktikal.

Kaedah Membezakan Darah Istihadah dan Darah Haid

Meneliti sifat-sifat darah (tamyiz) adalah kaedah utama yang lebih berkesan membezakan darah haid dan istihadah. Kaedah ini memerlukan wanita meneliti ciri-ciri darah yang keluar.

Sekiranya darah tersebut kehitaman, bererti ia ialah darah haid, tetapi apabila ia berubah menjadi warna merah ia ialah darah istihadah.

Sekiranya seorang perempuan tidak dapat membezakan darah yang keluar sama ada darah haid atau istihadah melalui pemerhatian terhadap sifat-sifatnya, dia boleh menggunakan kaedah ini untuk menentukan hukum.

Ini berdasarkan apa yang berlaku ke atas Fatimah binti Hubaisy r.ha. ketika didatangi darah istihadah. Rasulullah s.a.w. memberikan panduan untuk mengklasifikasikan darah haid atau istihadah:

Maksudnya: “Jika darah haid, ia berwarna hitam yang biasa dikenali. Jika darah haid itu keluar hendaklah kamu berhenti dan jangan kamu menunaikan solat. Jika ia (darah) yang lain (bukan darah haid), hendaklah kamu berwuduk dan solat, justeru ia adalah darah yang keluar daripada saluran darah (darah istihadah).”

(Riwayat Abu Daud dalam Sunan Abi Daud pada bab Taharah: Siapa yang berkata apabila haid hendaklah meninggalkan solat)

darah-wanita-4Sebagai contoh, seorang wanita yang mengalami pendarahan secara berterusan, tetapi pada hari ke-10 kelihatan perbezaan sifat darah:

  • Sehingga hari kesepuluh darah berwarna hitam (merah kehitaman) manakala selepas itu ia berwarna merah. Darah yang berwarna hitam adalah haid, darah yang berwarna merah adalah istihadah.
  • Sehingga hari kesepuluh darah bersifat pekat manakala selepas itu menjadi cair. Darah yang pekat adalah haid, darah yang cair adalah istihadah.
  • Sehingga hari kesepuluh darah memiliki bau manakala selepas itu tiada lagi bau. Maka darah yang berbau adalah haid, darah yang tidak berbau adalah istihadah.

Berdasarkan kaedah ini wanita mempunyai lebih banyak masa suci untuk beribadat daripada kaedah kebiasaan setiap bulan. Malah sekiranya suatu hari nanti sebuah alat menguji darah yang keluar daripada wanita dicipta hingga wanita dapat mengenal pasti dengan lebih tepat kedudukan darahnya, dia hendaklah berpegang kepada keputusan alat ini. Perubahan seperti ini tidak pelik dalam ilmu fiqah, Imam Syafi’i sendiri mengubah pendapatnya tentang tempoh haid wanita di Iraq dan Mesir. Ini berlaku kerana perbezaan uruf tempat dan uruf teknologi.

Rohidzir Rais

Sumber artikel daripada majalah Solusi isu No.3